Seorang guru taekwondo dicekup selepas didakwa mencabul empat orang kanak-kanak perempuan dalam kejadian yang berlaku di Shah Alam.

Menurut sumber, suspek berumur 20 tahun ditahan kira-kira jam empat petang di sebuah pasar raya.

Berdasarkan penjelasan yang diberi oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang ibu kanak-kanak yang berusia 9 tahun berkaitan jenayah tersebut.

Difahamkan mangsa pertama dicabul ketika berada di dalam tandas pusat mempertahankan diri berkenaan.

“Polis juga menerima tiga lagi laporan daripada tiga mangsa berbeza. Siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa adalah kanak-kanak perempuan yang berumur di antara 7 hingga 9 tahun.

“Suspek telah menjadi tenaga pengajar seni mempertahankan diri selama setahun. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017),” katanya.

Selain itu, semua kejadian cabul yang berlaku dikatakan terjadi sekitar bulan September hingga Oktober lalu.
Suspek juga difahamkan adalah seorang pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang dan telah pun direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Sumber: Kosmo