Laman Utama

CEO KWSP Dilantik Sebagai Menteri Kewangan II

gempak
Awani
12/12/2023
04:55 MYT
Sponsor Banner
CEO KWSP Dilantik Sebagai Menteri Kewangan II
Seramai lima menteri baharu dilantik untuk menerajui beberapa kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebentar tadi.
Perubahan utama antara lain membabitkan satu daripada portfolio Timbalan Perdana Menteri, jawatan Menteri Kewangan II, pengwujudan semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemisahan dua kementerian.
Jawatan Menteri Kewangan II disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sementara Datuk Armizan Mohd Ali dilantik menggalas tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang baru menggantikan Allahyarham Salahuddin Ayub.
Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kembali memegang portfolio Menteri Kesihatan menggantikan Dr Zaliha Mustafa.
Manakala Dr. Zaliha berpindah portfolio di Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dibubarkan bagi mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang diterajui Fahmi Fadzil dipisahkan bidang kuasa.
Fahmi akan menerajui kementerian bertumpu kepada aspek komunikasi manakala bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo akan bertanggungjawab terhadap portfolio Kementerian Digital.
Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim pula dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan V Sivakumar.
Manakala bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Sementara itu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad telah dipecah kepada dua.
Datuk Seri Fadillah Yusof yang ketika ini seorang daripada dua daripada Timbalan Perdana Menteri bakal menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Kelestarian Awam.
Rombakan ini turut membabitkan Datuk Seri Mohamad Hassan yang kini Menteri Pertahanan berpindah kementerian sebagai Menteri Luar yang ketika ini disandang Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Zambry pula akan menerajui Kementerian Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berpindah ke Kementerian Pertahanan.
Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM, Zulkifli Hasan sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
AWANI
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live