Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikatakan membuat keputusan bahawa guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah dan bebas daripada sebarang tindakan tatatertib berhubung kontroversi yang sedang melanda.

Perkara itu dinyatakan dalam surat yang tular di media sosial pada Selasa.

Surat tersebut menyatakan, lembaga itu membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya pada Isnin dan telah menimbang dengan teliti surat pertuduhan ke atas Mohd Fadli dan representasi bertulis yang dihantar guru berkenaan.

Tiga pertuduhan kes diputuskan tidak bersalah dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.
Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Berdasarkan surat yang diterima daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan KPM sebelum ini, beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Fadli yang mesra dengan panggilan Cikgu Fadli menyatakan bakal berkongsi keputusan Lembaga Tatatertib KPM malam ini, menerusi Facebooknya.

“Keputusan mesyuarat Lembaga Tatatertib KPM sudah keluar. Malam ini saya akan kongsikan. Berdebar macam tunggu keputusan pilihan raya pula,” katanya.

Sementara itu, menerusi laporan Sinar Bestari, ahli keluarga Cikgu Fadli menyatakan rasa syukur dengan berita berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah”. Itulah reaksi salah seorang ahli keluarga Cikgu Fadli mengenai keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang dibuat hari ini bagi menentukan nasib cikgu tersebut sama ada dipecat atau diturunkan pangkat akibat daripada menyuarakan isu berkaitan sistem pendidikan negara yang tular sejak Sabtu.

Sumber: Sinar Harian & Sinar Bestari

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!