Cef dan selebriti popular Datuk Fazley Yaakob memberanikan diri untuk mencipta sebuah lagu khas menceritakan kisah cintanya dahulu dengan seorang gadis berbangsa Cina.

Jelas Fazley, 40, lagu itu diciptanya sendiri bersama komposer terkenal Ajai dan menyelitkan lirik berbahasa Mandarin.

"Sebelum mengenali isteri saya dan berumah tangga, saya pernah bercinta dengan gadis berbangsa Cina.

"Namun, oleh kerana perbezaan agama dan budaya hubungan kami hanya bertahan selama setahun sahaja.

"Tetapi, sehingga kini kami masih berkawan seperti biasa," katanya ketika ditemui pada majlis Fun Taipei Pop Up Event di IOI Putrajaya baru-baru ini.

Kata Fazley, lagu berjudul Wo Ai Ni (You Are My Love) itu sudah dirakamkan dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ditanya mengenai reaksi isteri apabila mengetahui kisah cintanya itu, ini jawapan Fazley.

"Sebelum berkahwin, saya sudah berterus terang tentang segalanya termasuk kisah cinta ini.

"Apabila saya menyatakan hasrat untuk merakamkan lagu ini pun, isteri izinkan. Dia tiada masalah.

"Lagipun, masing-masing sudah berumah tangga dan mempunyai kehidupan sendiri," tambahnya.

Dalam pada itu, muzik video lagu Wo Ai Ni telah menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Taipei, Taiwan.

Fazley yang turut dilantik sebagai duta Halal Taipei buat tahun kedua turut mengesyorkan lokasi menarik dan tempat makan halal di negara itu.

Antaranya Fried Chicken Master, Kuo Yuan Ye Pastry, Ice Monster, Jingimoo Dessert dan Formosan Coffee.

Kesemua outlet ini turut diterbangkan khas ke IOI Putrajaya bagi memberikan peluang orang ramai merasainya sendiri.