Sekilas
- Pelakon Aila Azizul sebak mengenang arwah bapanya selepas menang trofi Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Malam Terlarang di FFM35.
- Arwah bapanya adalah penyokong terbesar sejak kecil dan sering menunggu Aila pulang dari latihan untuk bertanya khabar.
- Kemenangan ini menjadi pemangkin semangat Aila untuk terus berkarya dan didedikasikan khas buat arwah bapanya.
Pelakon Aila Azizul tidak dapat menahan sebak ketika mengenang arwah bapanya selepas meraih trofi Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Malam Terlarang pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya, malam tadi.
Aila berkata, bapanya merupakan penyokong terbesar sejak kecil dan sering menghantarnya ke sesi latihan serta kelas.
“Dari kecil lagi dia memang sokong Aila. Dia meninggal dunia pada September 2023 dan saya dapat watak ini (Malam Terlarang) pada 2024.
“Saya tahu dia sangat bangga dengan saya sebab dari dulu dia bawa saya ke sesi latihan dan kelas. Semua ini untuk dia,” katanya sambil menangis.
Antara kenangan yang masih diingatinya ialah cara arwah menyapa dan menunggu dia pulang selepas latihan.
“Dia selalu panggil saya ‘Ayla girl’. Kata-kata yang spesifik itu tak ada sangat, tapi lepas latihan atau bila balik, dia selalu tanya, ‘Ayla girl, macam mana latihan? Macam mana kelas?’
“Dia akan tunggu sampai Aila balik semata-mata nak tanya khabar,” ujarnya.
Mengulas kemenangannya, Aila mengakui masih menggeletar kerana tidak menyangka filem pertamanya itu akan membawa pulang trofi, malah pencalonan itu sendiri sudah mengejutkannya.
“Sejujurnya, dari tadi sampai sekarang tangan saya menggeletar. Ini filem pertama saya dan saya memang tak sangka dapat pencalonan. Jadi, menerima anugerah ini satu penghormatan besar,” katanya.
Aila berkata, anugerah itu menjadi pemangkin semangat untuknya terus berkarya dan mendedikasikan kemenangan tersebut buat arwah bapanya.
Aila mengatasi empat calon lain iaitu Samara Kenzo (Indera), Faye An Ying Fei (Circus of Life), Yy Aleyqa (Denu) dan Dina Allysha (Mak #SalamDariSyurga).
Filem seram terbitan Astro Shaw itu merupakan arahan Allahyarham Nurhanisham Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Labu.
Malam Terlarang dibintangi Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Haneesya Hanee dan Sabri Yunus.
Untuk info, Allahyarham meninggal dunia akibat kanser lidah pada September 2023, sebelum Aila mendapat watak dalam filem sulungnya pada 2024.