Filem sekuel bagi animasi BoBoiBoy iaitu BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi filem animasi Malaysia pertama yang ditayangkan serentak di lima buah negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak, antara negara yang terpilih termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam.

Katanya, perkara itu sekali gus membuktikan animasi BoBoiBoy bukan saja mendapat sambutan di Malaysia, malah merangkumi negara-negara Asia Tenggara yang lain.

"Sebagai penerbit kami sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama sebuah filem animasi Malaysia berjaya mendapat tayangan serentak di lima buah negara.

"Sokongan daripada peminat-peminat antarabangsa sememangnya memberi semangat untuk kami lancarkan filem BBBM2 di serata Asia Tenggara.” katanya.

Tambah Nizam lagi, filem ini juga berkemungkinan ditayangkan di dua lagi negara seperti Thailand dan Filipina selepas mendapat permintaan daripada pihak berkenaan.

"Malah siapa sangka BoBoiBoy juga sebenarnya popular di Khazastan. Saya tidak pasti bagaimana alih suara bakal dibuat di sana, apapun kita berharap yang terbaik untuk BBBM2 kali ini," katanya.



Sementara itu, menurut Ketua Kandungan Astro Shaw & Nusantara, Bahagian Perniagaan Melayu & Nusantara, Raja Jastina Arshad, filem BBBM2 ini buat pertama kalinya menyaksikan kerjasama antara Animonsta Studios dan Astro Shaw.

Jelasnya, Astro mempunyai platform untuk mempromosi filem yang kuat dan menyeluruh.

"Kami sentiasa mahu bekerjasama dengan Animonsta dan semua tahu BoBoiBoy sangat popular di Malaysia. Malah BBBM2 ini telah meletakkan satu standard yang tinggi apabila menggunakan teknologi animasi terkini dengan kualiti kesan khas yang amat dibanggakan.

"Jadi saya harapkan dengan kerjasama Astro Shaw dan Animonsta ini akan meletakkan satu penanda aras baru buat industri filem," katanya pada sidang media majlis pelancaran filem BBBM2 di Battle Arena, Petaling Jaya.

Pada masa sama dalam majlis berkenaan lagu tema BBBM2 berjudul 'Fire & Water' turut dilancarkan.

Lagu terbabit dinyanyikan oleh penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir.

Jadi jangan lupa nantikan kemunculan BBBM2 yang bakal menemui penonton bermula 8 Ogos ini.