Sekilas
- Robert Pattinson diumumkan sebagai pelakon terbaru watak James Bond menggantikan Daniel Craig dalam filem francais terbaharu di bawah Amazon MGM Studios.
- Filem ini akan diarahkan oleh Denis Villeneuve dengan skrip oleh Steven Knight, menandakan era baru bagi francais James Bond selepas pengambilalihan oleh Amazon.
- Pattinson menganggap peluang membawa watak 007 sebagai penghormatan besar dalam kerjayanya, walaupun beberapa butiran seperti barisan pelakon dan tarikh tayangan masih belum diumumkan.
Penantian panjang dan teka-teki demi teka-teki pemilik watak paling ikonik Hollywood, James Bond kini terjawab.
Amazon MGM Studios mengumumkan aktor Robert Pattinson bakal mengisi kekosongan karakter yang ditinggalkan Daneil Craig menerusi sebuah video berdurasi 25 saat yang dimuat naik ke akaun media sosial rasmi francais berkenaan.
Pelantikan Pattinson sebagai James Bond atau ejen 007 yang terakhir kali dibawakan Craig dalam francais berkenaan selepas filem No Time To Die pada 2021 mengukuhkan kredibilitinya membawa watak ikonik.
Sebelum ini, aktor berusia 40 tahun itu telah menghidupkan watak ikonik dalam dunia sinematik selepas kejayaannya membawa karakter Bruce Wayne menerusi The Batman pada 2022.
Video ringkas tetapi penuh gaya itu memperlihatkan Pattinson dengan penampilan serba elegan sebelum disusuli mesej yang mengesahkan kepulangan James Bond menerusi filem terbaharu francais berkenaan.
Bintang yang mula mencipta populariti menerusi filem The Twilight Saga itu menyifatkan peluang membawa watak 007 sebagai satu penghormatan terbesar dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
"James Bond merupakan antara watak paling legenda dalam sejarah perfileman dan diberi kepercayaan untuk menggalas watak 007 adalah penghormatan seumur hidup.
"Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan Amazon MGM Studios atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” ujarnya seperti dilaporkan BBC.
Pattinson juga mengatakan watak 007 tidak layak disifatkan sebagai sekadar impian sebaliknya amat sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Mengatakan watak ini sebagai impian yang menjadi kenyataan juga masih belum cukup untuk menggambarkan perasaan saya. Saya tidak sabar untuk memulakan kerjasama ini dan bekerja bersama pasukan hebat berkenaan," katanyalagi menerusi satu kenyataan.
Pemilihan Pattinson dilihat membawa pendekatan berbeza berbanding tradisi pemilihan pelakon James Bond sebelum ini yang lazimnya mengetengahkan wajah kurang dikenali ketika mula diperkenalkan sebagai ejen 007.
Sepanjang sejarah francais yang bermula menerusi filem Dr. No pada 1962, hanya enam pelakon pernah menghidupkan watak perisik British berkenaan, termasuk Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Daniel Craig.
Menariknya, filem terbaharu itu turut menandakan permulaan era baharu James Bond di bawah pengurusan Amazon MGM Studios selepas syarikat berkenaan memperoleh kawalan kreatif terhadap francais tersebut.
Filem berkenaan bakal diarahkan pengarah terkenal, Denis Villeneuve, yang sebelum ini mengemudi francais Dune, manakala skripnya ditulis Steven Knight, individu di sebalik kejayaan siri popular Peaky Blinders.
Penerbitan pula dikendalikan Amy Pascal dan David Heyman, dengan Tanya Lapointe bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Bagaimanapun, beberapa perincian masih belum diumumkan termasuk barisan pelakon yang bakal bergandingan dengan Pattinson, tarikh tayangan rasmi serta penyanyi yang akan dipilih untuk menyampaikan lagu tema filem berkenaan.