Laman Utama
Cipta Sejarah! Mechamato Menang Anugerah Festival Anime Tokyo 2023
Siri animasi Mechamato terbitan MONSTA melakar sejarah tersendiri sebagai animasi pertama dari luar Jepun yang memenangi kategori Anime Fan Award di Anugerah Festival Anime Tokyo 2023, semalam.
Lebih manis lagi, Mechamato adalah karya pertama dari luar Jepun yang memenangi anugerah ‘Anime Fan Award’ sejak ia dipertandingkan dari tahun 2014.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, kejayaan itu sekaligus sangat membanggakan kerana Mechamato mendapat sokongan luar biasa dalam kalangan rakyat di Jepun.
“Kami berterima kasih kepada semua yang mengundi Mechamato. Kami sangat teruja dengan anugerah Tokyo Anime Award Festival dari Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan industri animasi mereka.
“Ini merupakan satu permulaan yang baik untuk Mechamato di pasaran Jepun dan juga pasaran antarabangsa.
“MONSTA yakin Mechamato akan dapat memikat hati penonton Jepun terutama dari golongan kanak-kanak kerana konsepnya yang unik dan ceritanya yang penuh dengan nilai-nilai murni,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata, mereka sangat terharu apabila Mechamato berjaya memikat penonton di Jepun dan berhasrat mahu menembusi lebih jauh pasaran di sana.
“Terima kasih diucapkan kepada Cartoon Network Japan kerana memberi kepercayaan kepada siri animasi Mechamato.
“Secara tidak langsung, anugerah ini dapat membantu MONSTA untuk meyakinkan para pengedar di Jepun untuk menerima hasil karya anak Malaysia. Kami tidak mahu berhenti hanya di sini.
“MONSTA akan terus berusaha untuk membawa siri Mechamato ke stesen televisyen tempatan Jepun, dan kalau mampu, untuk menayangkan Mechamato Movie di pawagam Jepun juga,” jelasnya.
Terdahulu, Mechamato meraih tempat pertama dengan lebih 40,000 jumlah undian dari dalam dan luar Jepun.
Mechamato berjaya mencipta sejarah dengan anugerah ‘Anime Fan Award’ di Jepun apabila sirinya layak untuk dipertandingkan setelah ia ditayangkan di Cartoon Network Japan pada bulan Mac 2022.
Populariti siri animasi dari Malaysia ini melonjak naik apabila ia disiarkan di platform penstriman NETFLIX Jepun pada Oktober 2022.
Anime Fan Award adalah kategori dibuka buat peminat mengundi animasi kegemaran mereka setiap hari selama lebih 25 hari.
Anugerah terbabit pernah dimenangi karya popular seperti Idolish Seven pada 2021 dan 2022, Uta no Prince-sama (2020), Yuri!!! on ICE (2018, 2017) dan lain-lain.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video