Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui terkejut ketika dihubungi ‘Barbie’ yang menyatakan hasrat untuk mencipta sebuah anak patung buat dirinya.

Farah Ann berkata, dia tidak pernah terfikir akan memiliki anak patung Barbie edisi khas menyerupai dirinya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mattel dan Barbie kerana pemberian yang sangat bermakna ini.

“Masa kecil dulu saya main anak patung Barbie dan jadikan mereka atlet gimnas, tak sangka impian zaman kanak-kanak saya menjadi kenyataan.

“Saya sangat teruja apabila melihat anak patung yang diberi nama Shero ini. Ini adalah sebuah penghargaan buat diri saya,” katanya.

A post shared by Farah Ann Abdul Hadi (@farahann94)

Anak patung Barbie edisi khas keluaran Mattel itu dicipta untuk projek 'Dream Gap' dengan harapan memberi inspirasi kepada kanak-kanak merealisasikan impian mereka dengan tema 'Anda Boleh Jadi Apa Saja, Anda Boleh Jadi Atlet'.

Patung khas itu dibuat menyerupai Farah Ann, berambut hitam dan mengenakan pakaian merah jambu, putih dan emas, pakaian yang dipakai atlet gimnas tersebut ketika beraksi di Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.

Bagaimanapun, patung Barbie yang diberi nama 'Shero' itu tidak berada dalam pasaran untuk tujuan jualan dan ia adalah yang pertama dan satu-satunya yang dicipta di Malaysia.

Kempen berkenaan juga disediakan dengan video khas berdurasi satu minit 49 saat Farah Ann bersama seorang kanak-kanak melakukan rutin gimrama senaman lantai.

Video itu juga mengimbau kembali ketika Farah Ann masih lagi kanak-kanak dan dirakam oleh keluarganya sendiri.

Selain Farah Ann, atlet Malaysia yang lain turut dipilih menjadi model Barbie ialah legenda skuasy negara, Nicol Ann David, penerjun Olimpik Leong Mun Yee, jaguh tenpin boling Shahlin Zulkifli dan atlet luncur ais pecut, Anja Chong.

Dia juga berada sebaris dengan jaguh sukan antarabangsa lain seperti Alex Morgan (bola sepak), Nyimas Bunga Cinta (papan selaju), Dame Valerie Adams (lontar peluru) dan Manasi Joshi (Badminton Para).