Berita

COVID 19: Tabung Dilancarkan, Wang Ihsan RM100 Sehari Kepada Individu Dikuarantin Yang Tiada Pendapatan Tetap

gempak
Fiza Kamarudin
12/03/2020
00:00 MYT
Sponsor Banner
COVID 19: Tabung Dilancarkan, Wang Ihsan RM100 Sehari Kepada Individu Dikuarantin Yang Tiada Pendapatan Tetap
Wang ihsan melalui Tabung COVID-19 sebanyak RM100 sehari akan diberi kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang tempoh dikuarantin.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata tabung dilancarkan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 kerana tidak dapat bekerja susulan menjalani kuarantin itu, diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau berkata, ia membabitkan mereka yang dikuarantin selama 14 hari atau menerima rawatan di hospital berikutan disahkan positif COVID-19 bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sumbangan RM100 sehari akan diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang proses kuarantin itu.
“Bagaimanapun, mereka yang mempunyai pendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan, tidak layak menerima sumbangan ihsan daripada tabung berkenaan.
“Ini adalah wang ihsan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dan tabung terbabit diuruskan oleh NADMA,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Mohamed Zahari Razali.
Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan, pusat kuarantin COVID-19 di AKEPT akan ditutup, sekali gus mengucapkan terima kasih dan syabas kepada agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.
“Yang penting, semua agensi bertugas mendapat latihan baik dan pengalaman sangat berharga,” katanya.
Sumber: BHOnline
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024