Laman Utama
COVID-19: 2,757 Kes Baharu, Dua Kes Omicron Mula Direkod Di Pulau Pinang
Kes COVID-19 di Malaysia merekodkan jumlah di bawah 3,000 kes untuk dua hari berturut-turut selepas 2,757 kes baharu dilaporkan pada 27 Disember 2021 (Isnin).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitternya memaklumkan, angka terbaharu itu menyaksikan jumlah kumulatif kes di negara kini sebanyak 2,743,936 kes.
Kes pada Ahad turut merekodkan jumlah di bawah angka 3,000 dengan 2,778 kes.
Dalam pada itu, Pulau Pinang merekodkan dua kes Omicron terawal dari jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan, kes berkenaan dikesan semalam selepas jemaah umrah itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Pesakit dijangkiti varian itu selepas kembali dari menunaikan umrah dan kedua-dua mereka sedang dikuarantin di hospital bagi pemantauan rapi.
“Setakat ini baru dua kes varian Omicron direkodkan di negeri ini dan kerajaan negeri mengambil serius perkara ini serta akan memastikan ia tidak merebak ke dalam masyarakat,” katanya hari ini.
Sementara itu, Kon Yeow turut mengingatkan rakyat Pulau Pinang agar segera mengambil suntikan dos penggalak dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa bagi mengelak dijangkiti COVID-19.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memaklumkan, sebanyak 49 kes baharu varian Omicron dikesan di negara ini sehingga Jumaat lepas.
Beliau dilaporkan berkata, 30 kes varian Omicron adalah melibatkan warganegara Malaysia yang tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lalu, manakala kes selebihnya adalah ketibaan dari luar negara membabitkan United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, Ghana dan Emiriah Arab Bersatu.
Kredit foto: Awani / Buletin Mutiara
Must-Watch Video