Aktres jelita, Erra Fazira mengakui masih mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga.

Pun begitu, pada usia yang sudah mencecah 47 tahun ini, Erra memberitahu beliau tidak menetapkan kriteria spesifik, cukup bakal suaminya kelak seorang yang ada keserasian.

“Saya tidak kata saya tak mencari jodoh, cuma kalau ada jodoh tu nanti saya cukup bersyukur.

“Untuk cakap mengenai kriteria pasangan, itu masa saya muda mungkin banyak lah yang hendak disenaraikan.

“Tapi bila sekarang ni, cukup saya katakan ada rasa keserasian dengan pasangan, seorang yang bertanggungjawab, saya rasa selamat dengannya serta seorang yang boleh menjaga keluarga saya,” katanya kepada Gempak.

Erra ditemui selepas pelancaran produk terbaharu Himaya yang memperkenalkannya serta penyanyi Wany Hasrita sebagai duta.

Bercerita lanjut mengenai jodoh, bekas isteri kepada Engku Emran itu turut berkongsi kisah lucu mengenai anaknya, Engku Aleesya yang tidak membenarkannya berkahwin lagi.

"Saya ada usik Aleesya konon mahu berkahwin. Namun, jawapan Aleesya, dia tidak kisah kalau ayahnya berkahwin, asalkan saya tidak.

"Saya harap itu hanya sekadar gurauan kerana saya hendak juga berkahwin jika bertemu lelaki idaman," ujar Erra sambil tertawa.

Erra merupakan bekas isteri dari perkahwinan pertama Engku Emran dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata Engku Aleesya.

Sementara pernikahan keduanya ialah dengan pelakon dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella yang hanya bertahan dua tahun.

Terbaharu, Engku Emran melangsungkan perkahwinan kali ketiga dengan kakak kepada pengacara popular, Neelofa, Noor Nabila yang juga merupakan bekas isteri pelakon Sharnaaz Ahmad pada 19 Mac lalu.