Siapa yang tak berang jika kerja yang diamanahkan tidak dilangsaikan dengan betul? Begitulah hal yang dialami oleh cef celebriti popular negara, Chef Wan.

Menerusi hantaran di Instagram, tukang masak berusia 64 tahun itu kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandunya sepanjang dia bercuti di luar negara.

Menurut Chef Wan, tugasan untuk memantau keadaan taman dan pokok bunga miliknya tidak dilakukan dengan betul sehingga banyak tanaman kering akibat tidak bersiram.

A post shared by chef wan (@_chefwan58)


“Sebelum saya berangkat (ke luar negara) saya beritahu pemandu saya supaya jangan lupa siram pokok-pokok, paling tidak sekali sehari. Musim panas, pagi dan petang.

“Sesekali ada masa sebab dia tidak memandu, jadi dia ada 9 pagi hingga 5 petang enam hari seminggu di rumah saya. Pandai-pandailah dia jaga pokok-pokok ni.

“Bukan saya suruh menyangkul, siram air sahaja guna getah, paling lama sejam sehari. Sapu lama bila daun-daun gugur. Dah habis kerja satu ke dua jam, baliklah rumah dan habiskan masa dengan family. Bukan susah,” tulisnya.

Menurut Chef Wan lagi, pemandunya itu merupakan seorang yang tidak ringan tulang melihatkan keadaan persekitaran laman rumahnya yang kotor.

“Masa di Los Angeles saya kata: ‘Hafiz hantar saya gambar-gambar roof top garden’. Bila saya tengok betapa berselerak kawasan itu, saya jadi marah. Saya tanya kenapa botak pokok-pokok bunga kertas tu semua?

“Dia jawab: ‘Angin dan hujan lebat Tok’. Saya kata jika gugur, mesti hijau dan merah bunga, bukan kuning dan coklat warnanya. Sebagai pekebun, itu tandanya pokok tak cukup air atau tidak disiram,” luahnya lagi.

Justeru, Chef Wan bertindak untuk melihat kembali rakaman CCTV untuk memeriksa apakah situasi sebenar yang berlaku sepanjang ketiadaannya.

“Bohong punya bohong, saya tengok CCTV dan nampak semuanya. Akhirnya dia mengaku konon cuti sakit ambil booster dan macam-macam… berhari hari tak kerja.

“Tak pernah beritahu saya langsung dan tinggalkan taman saya begitu sahaja tak berjaga berhari-hari. Akhirnya dia mengaku,” ujar Chef Wan.

Menerusi ruangan komen, rata-rata turut berkongsi perasaan kecewa dengan Chef. Ada juga yang mencadangkan supaya Chef Wan menamatkan perkhidmatannya itu. Chef Wan membalas yang pemandunya itu sudah dibuang kerja.