Pemain bola sepak Perak FC, Azhar Apandi memohon orang ramai menghormati dirinya dan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.

Azhar menerusi Instagram (IG) Storynya berkata, dia dan Dhabitah sudah lama berpisah dan memohon agar tidak menyebut lagi kisah lama.

"Awak-awak semua saya dah lame tak ada kena mengena dengan si dia (Dhabitah), so plss laa hormat saya dengan si dia okay.

"Harap korang semua faham okay. Love u guys," katanya dengan tanda pagar #janganupbaranglame, #sembilu, #442 dan #cucuklagihasan.

Azhar, 22, adalah tonggak pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dipinjamkan selama semusim kepada skuad The Bos Gaurus itu pada awal musim ini.



Sementara itu, tinjauan Gempak di laman sosial IG Dhabitah mendapati, penerjun negara itu turut memuat naik teguran kepada sebuah blog berkaitan perkara tersebut di ruangan story.

Menerusi hantaran tersebut Dhabitah telah meninggalkan tanda ‘X’ merujuk kepada fotonya bersama Azhar yang digunakan blog tersebut.

Katanya, dia tidak bersetuju apabila artikel bertajuk ‘Hati Nur Dhabitah Sudah Dimiliki’ itu menggunakan fotonya bersama Azhar.



Sebelum ini, tular di laman sosial temuramah Dhabitah dengan stesen radio Gegar fm yang mengakui dirinya sudah berpunya.

Dhabitah membuat pengakuan tersebut selepas ditanya penyampai radio Mek Zura sama ada senyuman manisnya sudah ‘dijaga’ oleh seseorang.

“OKlah, saya cakap terus terang, single but not available (bujang tapi sudah berpunya),” kata atlet berasal dari Kuala Lumpur itu.

Terdahulu, Dhabitah menduduki tempat keempat dalam pusingan akhir acara 3 meter papan anjal individu di sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nama Dhabitah juga menjadi sebutan ramai selepas dia memberikan senyuman manis selepas menamatkan terjunan terakhirnya.

Atlet berusia 22 tahun itu turut mendapat pujian warganet kerana komited dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap terjunannya.