HIBURAN
Dah Lama Pasang Niat, Akhirnya Impian Siti Saleha Ceburi Industri Fesyen Tercapai - “Kalau Dapat Sambutan Saya Akan…”
Pelakon, Siti Saleha akui sudah lama menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dalam industri fesyen.
Bagaimanapun kekangan masa dan kurang pengetahuan tentang selok-belok dunia membuatkannya ragu-ragu untuk memulakan langkah pertama.
Namun jelas Siti Saleha atau lebih mesra disapa sebagai Sally segalanya mula berubah apabila dia mula bekerjasama dengan pasangannya, Joshua Fitton yang merupakan seorang pereka fesyen berpengalaman.
“Untuk tahun ini saya ada keluarkan koleksi baju raya bersama suami. Saya sebenarnya sudah lama nak berjinak dalam industri fesyen tapi tiada pendorong dan pengetahuan dalam industri ini.
“Tapi dengan Josh ia jadi lebih mudah sebab dia pun sudah lebih 10 tahun bergelar pereka fesyen jadi benda itu mudah untuk dia uruskan macam saya mungkin dalam bahagian marketing,” ujarnya.
Pelakon drama Dia Imamku itu juga tidak menolak untuk menghasilkan lebih banyak koleksi pakaian bersama suaminya.
Namun menurut Siti Saleha, sebagai permulaan dia hanya mahu melihat sambutan yang diberikan kepada orang ramai sebelum dia benar-benar serius untuk menghasilkan lebih banyak koleksi pakaiannya sendiri.
“InsyaAllah selepas ini, tapi buat masa sekarang kami hanya buat untuk baju raya sahaja. Sebab saya juga sibuk dengan pengambaran dan sebagainya.
“Saya pun hanya cuba untuk test market dahulu, tapi sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakan mungkin saya akan produce lebih banyak lagi,” katanya.
Sekadar info, Pelakon Siti Saleha telah sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung pada 15 Februari 2025 di sebuah resort mewah di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Majlis akad nikah tersebut hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan teman rapat pasangan itu.
Dalam upacara tersebut, Joshua telah menyerahkan mas kahwin bernilai RM1,000 kepada Saleha dan pasangan ini memilih busana berwarna putih hasil rekaan Atelier FITTON yang merupakan jenama milik Joshua sendiri.
Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kedua bagi Saleha selepas perkahwinan pertamanya dengan Ahmad Lutfi Azhar berakhir pada Januari 2022.
Must-Watch Video