Berbeza dengan kebanyakan drama Melayu lain, siri original Gempak terbaharu berjudul The Maid bakal memberi kepuasan yang berbeza buat penonton.

Malah, The Maid yang bakal ditayangkan bermula dengan epsiod 1 esok, 6 Januari 2020 telah mendapat perhatian netizen yang teruja menantikannya.

Menerusi tinjauan Gempak di ruangan komen Instagram, rata-rata tidak sabar menanti drama komedi thriller ini yang mengisahkan seorang lelaki jutawan dengan empat orang isterinya bersama empat pembantu.

“Tak sabar nak tengok,” kata salah seorang warga maya

“Mantap! Tak sabar nak tengok,” komen salah seorang netizen yang teruja

“Dah lamaaa sangat tak tengok drama Melayu dan yang ni saya tunggu..akan tengok!,” puji salaah seorang warganet

“Seram nampak ni,” ulas salah seorang pengikut laman sosial tersebut.

Drama The Maid menampilkan aktor Norman Hakim yang membawakan watak utama sebagai Mr. Jayden iaitu lelaki yang mempunyai empat orang isteri.

Menariknya ia menampilkan pelakon popular yang membawakan watak empat isteri, iaitu Sherry Alhadad, Mira Filzah, Datin Eina Azman dan Ezatty Abdullah.

Bukan sahaja menonjolkan watak isteri-isteri tetapi The Maid sudah tentu menampilkan kisah pembantu rumah kepada setiap isteri Jay.

Antara pelakon pembantu rumah yang menjayakan drama siri ini adalah Eida Moin, Zarina Zainoordin, Nadya Shahera, Siti Khadijah Halim dan Isha Norsham.

The Maid mengisahkan seorang lelaki bernama Jayden seorang penulis novel yang popular. Di mata masyarakat, Jay dan empat isterinya hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang tetapi sebenarnya tidak. Setiap daripada mereka membenci antara satu sama lain dan hanya berpura-pura bahagia.

Bagaimana pun, hanya pembantu rumah mereka sahaja tahu cerita sebenarnya. Konflik timbul bermula dengan kematian isteri keempat Jay iaitu Elisa lakonan Mira Filzah. Elisa dijumpai mati ketika Jay dan isteri-isterinya mengadakan makan malam dan ketiga-tiga isteri Jay yang lain merupakan suspek pembunuhan.

Penyiasatan bermula dan rahsia demi rahsia milik isteri Jay telah dibongkar. Situasi menjadi lebih misteri apabila Citra lakonan Siti Khadijah Halim muncul sebagai pembantu rumah yang baru.

Siapakah dalang disebalik kematian Elisa? Semuanya bakal dibongkar dalam drama bersiri THE MAID setiap Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104). Anda juga boleh strim di Astro Go, On Demand dan juga www.gempak.com