Sekilas
- Pelakon Hannah Delisha terharu apabila namanya semakin dikenali di Indonesia selepas membintangi drama The Hidden Hand.
- Hannah menerima pertambahan pengikut dari Indonesia dan terbuka untuk mengembangkan kerjaya lakonannya di sana jika diberikan peluang.
- Dia menjelaskan komitmen berlakon di Indonesia berbeza mengikut jenis produksi, dengan sinetron memerlukan tempoh panjang manakala filem lebih singkat.
Pelakon, Hannah Delisha meluahkan rasa terharu apabila namanya semakin mendapat perhatian peminat di Indonesia selepas membintangi drama The Hidden Hand bersama Merqeen dan Caitlin Halderman.
Malah, Hannah mengakui menerima pertambahan pengikut baharu dari negara jiran itu selepas drama berkenaan ditayangkan.
“Sejujurnya, saya sangat terharu. Kalau melihat kepada algoritma, peratusan pengikut saya dari Indonesia sebenarnya lebih tinggi berbanding Singapura. Tetapi kita tidak boleh membandingkannya kerana saya juga sangat menyayangi peminat di Singapura.
Negara itu kecil, jadi mungkin peratusan pengikut dari Indonesia nampak lebih tinggi kerana negara tersebut sangat besar. Saya memang tidak sangka dan Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon kelahiran Singapura itu tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkan kerjaya lakonannya ke Indonesia sekiranya diberikan peluang pada masa akan datang.
Jelas Hannah, dia merupakan individu yang gemar mencabar kemampuan diri dengan mencuba perkara baharu, justeru terbuka untuk menerima tawaran sekiranya watak dan masa yang ditawarkan bersesuaian.
“Kalau diberikan peluang, kenapa tidak? Satu perkara mengenai saya ialah saya suka mencabar diri sendiri dan mencuba perkara baharu. Sekiranya masa yang ditawarkan sesuai dan wataknya juga menarik, kenapa tidak?” ujarnya.
Mengulas mengenai komitmen sekiranya menerima tawaran berlakon di Indonesia, Hannah mendedahkan dia pernah bertanyakan mengenai tempoh penggambaran bagi sesebuah produksi di negara tersebut.
Menurutnya, penglibatan dalam sinetron lazimnya memerlukan komitmen jangka panjang sehingga beberapa tahun, sekali gus mungkin memerlukan seseorang pelakon menetap di sana.
Bagaimanapun, perkara itu berbeza bagi projek filem yang kebiasaannya mempunyai tempoh penggambaran lebih singkat, iaitu sekitar sebulan.
“Saya pernah bertanya mengenai perkara itu. Mereka beritahu, kalau komitmen panjang seperti sinetron, penggambarannya boleh berlangsung sehingga bertahun-tahun dan memang perlu menetap di sana. Tetapi kalau projek filem, tempohnya lebih kurang sahaja, mungkin sekitar sebulan.
“Saya memang sukakan Indonesia. Setiap kali pergi ke sana, saya mesti keluar berjalan-jalan. Makanannya sangat sedap dan penduduknya juga sangat mesra,” katanya lagi.