Setelah setahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Kamal Adli akui bahagia bersama isteri tersayang iaitu aktres, Uqasha Senrose.

Menurut Kamal, walaupun usia perkahwinan mereka masih baharu namun perjalanan sebagai suami isteri banyak memantangkan dirinya.

“Nak dekat setahun rupanya kami berkahwin, rasa macam tak percaya pun ya juga. Alhamdulillah banyak benda yang saya dan Uqasha belajar sepanjang bergelar suami isteri.

“Memang rasa lain, saya selalu ingatkan diri saya bila bergelar suami tanggungjawab juga lebih besar dan status ini juga banyak mematangkan saya serta isteri.

“Bila dah hidup berdua, sama-sama mengharungi susah senang dan bertolak ansur. Secara jujurnya kehidupan saya bersama isteri seronok. Kalau dulu saya seorang tapi kini bila saya pergi kemana-mana pasti akan ada yang bertanya mana isteri,” katanya ketika ditemui Gempak.

Kamal ditemui selepas sidang media filem terbaharu lakonannya berjudul, Escape bertempat di TGV, One Utama pada Rabu.

Dalam pada itu, Kamal juga menyatakan rasa gembira kerana dapat melakukan aktiviti bersama isteri dan juga kedua-dua belah keluarga.

“Pertama kali beraya sama-samaa dan dia juga seronok sebab dia dapat rasa pengalaman raya yang sebenar. Saya gembira bila lihat dia gembira.

“Saya pun dapat balik Kelantan masa raya Haji sebelum ini. Selama ini selalu dengar kemeriahan raya Haji bila di Kelantan, tapi bila saya sendiri dapat alami pengalaman itu, betul memang seronok.

“Kami sekarang banyak melakukan aktiviti bersama-sama keluarga. Saya pula memang jenis orang yang aktif jadi bila dapat luangkan masa dan bercuti bersama kedua belah keluarga memang seronok,” ujarnya.

Untuk info, Kamal dan Uqasha selamat bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis akad nikah tertutup di Janda Baik, Pahang.