Dakwa Harith Iskander Buat Lawak Persenda Agama, Shahrol Shiro Beri Teguran Terbuka - “Perkara Ini Sudah Melampau!”
Pelawak Shahrol Shira memberi teguran terbuka kepada pelawak Harith Iskander berikutan didakwa telah menjadikan agama sebagai bahan jenaka sekaligus membuka ruang kepada netizen untuk turut serta mempermainkan perkara tersebut.
Menurut Shahrol atau nama penuhnya, Shahrol Azizie Azmi, seorang pelawak perlu ada sensitiviti dan batasan terhadap bahan jenaka yang dimainkan.
“Sebagai pelawak tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak kita. Adakala kita patut lebih sensitif lebih lagi melibatkan agama kita.
“Apabila saudara @harithiskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersenda agama yang melampau,”tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Dalam pada itu, Shahrol turut memaklumkan bahawa dia juga akan membuat laporan polis di atas hantaran komen individu yang dianggap keterlaluan itu.
“Perkara ini sudah melampau dan satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen turut menzahirkan rasa kurang senang dengan ‘lawak’ yang dilakukan Harith Iskander.
“Bab agama pun buat gurau, memang melampau.
“Bukan ke Harith ni dah banyak kali persendakan agama. Sedih orang Islam sendiri persendakan agamanya,” komen beberapa netizen.
Bagaimanapun, menerusi tinjauan Gempak tiada lagi sebarang respons yang dilakukan oleh pihak Harith mengenai isu ini.