Setelah empat tahun di dalam industri hiburan, pelakon, Danial Dashuki telah membuktikan bahawa usaha kerasnya dalam industri seni selama ini membuahkan hasil setelah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Teater Tradisional) di Anugerah Teater Malaysia 2023 yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) pada Sabtu, 7 Oktober 2023.

Tidak menjangkakan kemenangan ini, pelakon yang bakal menginjak ke usia 29 tahun pada Disember ini, bersyukur apabila bakat dan usahanya dalam industri seni tanah air dikenali dan diperakui oleh barisan juri professional.

Danial Dashuki memulakan kerjayanya sebagai model bagi pelbagai jenama ternama di Malaysia.

Perjalanan kerjaya Danial kemudian beralih ke bidang lakonan dan seterusnya mengembangkan bakatnya dalam seni pementasan teater.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Mereka yang tercalon dalam kategori yang sama adalah merupakan pelakon-pelakon yang hebat dan menjadi rujukan saya.

"Saya amat bersyukur di atas penganugerahan ini. Walaupun berbangga dengan kejayaan ini, saya jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha memperbaiki mutu lakonan dan terus memberikan yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan”, ujar Danial.

A post shared by Danial Dashuki (@danial_dashuki)


Watak Tun Mamat yang disandang oleh Danial di dalam ‘Teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang’ ini memberikan impak yang besar kepada penonton yang hadir dengan karakter dan gaya penyampaiannya yang tersendiri.

Turut tercalon dalam kategori Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Kategori Teater Tradisional ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Mohd Hady Tahir, Hafizie Zulkifeli dan Murshid Md Hussain.

Malam Anugerah Teater Malaysia merupakan program penganugerahan dan penghargaan kepada karyawan seni dan petugas teater dari pelbagai genre teater seperti monolog, monodrama, teater moden, teater muzikal dan teater tradisional.