Penyanyi rap yang diberi jolokan The Neew Malique iaitu Siqma kini muncul dengan lagu baharu berjudul Dipinggirkan.

Menariknya single keempatnya itu telah mendapat sentuhan Malique sendiri. Turut ditampilkan dalam lagu tersebut adalah penyanyi duo, Fahimi Rahmat dan Mal Hamka atau lebih dikenali sebagai FML.

Mengulas mengenai perkara itu, Siqma menyifatkan peluang mendendangkan karya ciptaan idolanya adalah satu pengalaman manis dan berharga buat dirinya.

“Alhamdulillah syukur, saya sendiri pun rasa bertuah dapat bekerjasama dengan idola sendiri. Banyak benda yang dapat saya belajar daripada Malique.

“Untuk FML pula saya sangat yakin dengan mereka. Saya dapat rasakan mereka adalah pilihan yang tepat.

“Ketika proses pembikinan lagu kami ada aura yang sama dan saya amat selesa bekerja denan mereka,” ujarnya ketika ditemui Gempak.


Dipinggirkan merupakan ciptaan Malique dan Fahimi Rahmat. Manakala lirik pula ditulis bersama Malique, Kmy Kmo dan Siqma.

Malique juga bertindak sebagai penerbit rakaman bagi lagu berkenaan.

Single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, YouTube Muzik, Channel YouTube dan juga Apple Music.