Gara-gara nombor telefonnya tertera pada status Twitter Aliff Aziz, seorang ahli peniagaan dikenali sebagai Mohd Faris telah menerima lebih 7,000 mesej di aplikasi Whatsapp memaki hamunnya.
Selain itu, Mohd Faris, 30, turut menerima lebih 400 panggilan telefon dan hampir 100 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menghina dan mencabarnya untuk bergaduh.
Semuanya gara-gara kontroversi melibatkan penyanyi berasal dari Singapura itu yang tular baru-baru ini.
Status ‘Jangan nak kecam sangat, siapa tak puas hati call saya’ itu membuatkan kehidupan Mohd Faris terganggu.
"Saya bukan Aliff Aziz, tolong berhenti hubungi nombor telefon saya. Saya mula terima gangguan pada 5 pagi semalam dan tak tahu apa-apa sehinggalah tunang saya beritahu yang nombor saya sudah disebarkan.
"Ada yang masukkan saya dalam kumpulan Whatsapp dan ada juga yang saya sudah jelaskan yang tertera dalam Twitter itu bukan nombor Aliff. Bagaimanapun, sehingga sekarang saya masih diganggu tanpa henti walaupun saya sudah kongsi di Facebook (FB) dan buat laporan polis," katanya.
Mohd Faris membuat laporan dibuat di Balai Polis Sepang semalam dan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada hari yang sama.
"Satu azab saya rasa sebab panggilan tak henti-henti sehingga menyukarkan saya untuk menjalankan perniagaan.
"Nombor itu memang saya khaskan untuk urusan perniagaan sejak saya gunakan dua minggu lalu," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.
Gangguan yang diterimanya tidak kira masa dan Mohd Faris mempertimbangkan untuk menamatkan talian berkenaan sekiranya gangguan ini masih berterusan.
"Kepada anda di luar sana, tolonglah berhenti ganggu saya. Kepada tukang sebar, tolong jangan menyusahkan orang lain.
"Sebab anda, saya yang terseksa. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang kongsikan nombor telefon saya di media sosial," katanya.
Sumber: Harian Metro