Laman Utama
Dapat No. 1 Dalam Kelas, Mak Curi Kotak Pensel Untuk Hadiahkan Pada Anak
Seorang peguam yang dikenali sebagai Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkongsi sebuah kisah menyentuh hati menerusi video yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.
Menerusi video berkenaan, Ahmad Zaharil mendedahkan, dia pernah berdepan dengan satu momen manis suatu ketika dahulu, yang pada akhirnya menyebabkan dia meruntuhkan air mata.
“Sekitar tahun 1998, saya bertemu dengan seorang wanita berbangsa India dalam mahkamah. Saya tanya dia, apa masalahnya? Dia menjawab yang dia mencuri satu kotak pensel untuk dijadikan hadiah kepada anaknya yang dapat nombor satu. Katanya, harga kotak pensel itu sekitar RM18.
“Jadi, saya beritahu majistret yang saya mahu pergi berjumpa dengan guru besar anak wanita itu. Sesampai di sekolah, guru besar telah membuktikan yang anak wanita itu tadi benar-benar dapat nombor satu,” katanya.
@amzaharil
♬ original sound - amzaharil
Menurut Ahmad Zaharil yang sudah 31 tahun berkhidmat sebagai peguam, guru besar berkenaan bersetuju untuk memberi keterangan kepada mahkamah mengenai isu tersebut.
“Selepas mendengar, majistret memberi hukuman berkelakuan baik terhadap wanita itu. Sebelum beredar, saya beri sedikit duit kepada wanita itu. Saya pun sudah lupa berapa yang saya beri.
“Tapi beberapa individu lain turut menyumbang dan saya rasa adalah dalam RM200 untuk dia berbelanja,” katanya.
Masa berlalu, Ahmad Zahiril tidak menyangka yang dia akhirnya ‘kembali’ ke kisah lampaunya membantu ibu yang ditangkap kerana mencuri kotak pensil itu.
“Suatu hari, saya duduk di kantin… ada seorang peguam ni asyik tengok saya. Keesokan harinya pun dia asyik tengok saya sambil tersenyum. Pada hari ketiga, dia datang berjumpa dengan saya.
“Dia tanya saya ni Encik Ahmad ke? Saya jawab ya. Kemudian dia kata emaknya kirim salam. Katanya, mungkin saya tidak ingat… tapi dia adalah kanak-kanak yang mahukan kotak pensel suatu ketika dahulu. Dan kanak-kanak itu sudah menjadi peguam sekarang.
“Berjurai air mata saya. Saya tak tahu apa yang patut saya lakukan… Itu menjadi kenangan yang saya takkan lupa sampai mati,” tutupnya.
Must-Watch Video