Polis Johor sedang memburu tiga individu termasuk seorang Datuk Seri yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pemalsuan dokumen ‘Letter Of Undertaking’ menggunakan nama Tunku Mahkota Johor membabitkan urusan tukaran mata wang asing mencecah sehingga USD5 trillion (RM20.91 trillion).

Ketua Polis, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dokumen itu didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, Polis Johor mendapat maklum terhadap perkara itu susulan menerima laporan polis yang dibuat ketua unit media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor kira-kira pukul 7 petang, semalam.

“Dokumen palsu yang mendapat mandat Tunku Ismail bagi menjalankan urusan tukaran mata wang asing USD kepada Ringgit Malaysia (RM) yang bernilai USD200 billion sehingga USD5 trillion.

“Hasil semakan melalui laman WWW.ISTIADAT.GOV.MY mendapati penama yang bergelar Datuk Seri tersebut tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gelaran berkenaan.

“Polis Johor sedang giat menjalankan siasatan mengesan ketiga-tiga suspek ini. Maklumat lanjut tentang kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Sumber: Kosmo Online