Anak sulung pasangan selebriti David dan Victoria Beckham, Brooklyn dan pelakon Nicola Peltz, sah bergelar suami isteri dalam satu majlis perkahwinan penuh berprestij di Florida. Amerika Syarikat pada petang Sabtu waktu tempatan.

Memetik media antarabangsa, majlis perkahwinan pasangan mempelai Brooklyn, 23, dan Peltz, 27, berlangsung di rumah agam milik keluarga Peltz di Palm Beach, Florida sekitar pukul 6 petang.

Dilaporkan, majlis mewah bagi meraikan hari istimewa Brooklyn dan Peltz, yang merupakan anak kepada jutawan, Nelson Peltz, menelan perbelanjaan sekitar 3 juta pound (RM16 juta).

Pasangan itu bertukar ikrar di hadapan seorang rabbi di bawah chuppah yang dihias bunga dalam upacara tradisional Yahudi sebagai penghormatan kepada warisan Yahudi Peltz.

Seiring dengan tradisi, Brooklyn kemudian memecahkan kaca yang dibalut dengan kain menggunakan tumitnya selepas dia dan pelakon filem The Last Airbender itu sah berkahwin.


Sumber: Astro Awani