Bermula 1 Oktober 2021, tiga jenis premis perniagaan di Kuala Lumpur dilarang menjual minuman alkohol, selaras dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memuktamadkan Garis Panduan (GP) dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras baru-baru ini.

Tiga jenis premis itu adalah kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur. Namun pengecualian dibuat untuk penjualan alkohol bagi tujuan perubatan tradisional.

Malah menerusi ciapan di Twitter, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 muktamad.

"Keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad," kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu melalui ciapan di Twitternya.

Sebelum ini menerusi kemas kini di laman Facebook, DBKL memaklumkan GP baharu itu bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan warga kota.

“GP ini akan menjadi rujukan kepada semua pihak berkaitan yang akan diguna pakai dalam memproses permohonan baharu serta pembaharuan Lesen Minuman Keras di WPKL.

“GP dan syarat ini telah disemak serta melalui penambahbaikan melalui perbincangan bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kelmarin.

Menerusi laporan Sinar Harian, berdasarkan GP itu, premis perniagaan menjual minuman yang memabukkan tidak dibenarkan beroperasi berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.

Selain itu, pemohon atau pemegang lesen hanya dibenarkan kepada orang bukan beragama Islam.

Pemilik perniagaan juga mesti terdiri daripada orang bukan beragama Islam (Pemilik Tunggal/Perkongsian) dan majoriti orang bukan beragama Islam dalam lembaga pengarah syarikat.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk GP dan syarat ini ditetapkan melalui pautan di http://elesen.dbkl.gov.my.