Penyanyi, Haqiem Rusli tetap komited hadirkan diri untuk sesi latihan bagi persiapan menjelang malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards 2023 (GMWA23) walaupun dalam keadaan kurang sihat.

Berkongsi mengenai senarai lagu yang bakal dipersembahkan, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 26, berkata dia bakal mempersembahkan pelbagai genre lagu antaranya rock dan 90s.

"Saya dapat banyak lagu ada lagu y2k, lagu rock ada lagu Exist jadi saya memang kena buat banyak latihan, nak hafal lirik lagi jadi harini pun memang kita dah training sebagai persediaan untuk persembahan nanti.

“Tiada kelainan sangat bagi persembahan kali ini memang akan membawakan lagu tu seperti 'Haqiem Rusli' cuma saya akan extra daripada segi pakaian dan ubah suai melodi lagu supaya persembahan itu lebih fresh," katanya ketika ditemui Gempak.

Mengulas lebih lanjut mengenai GMWA23, Haqiem berpendapat anugerah ini merupakan salah satu platform yang positif untuk hargai bakat para content creator.

"Kita tahu sekarang ramai content creator yang lahir contohnya, Ryan Bakery jadi GMWA adalah satu platform yang bagus dan positif untuk industri kita.

"Sebab dulu tak ada sekarang dah ada jadi GMWA memang bagus untuk melebarkan sayap bakat-bakat content creator ini," ujarnya.

Untuk info, Anugerah paling dinanti-nantikan GMWA23 bakal berlangsung pada 25 Februari 2024.

Majlis yang dinanti-nantikan peminat setia selebriti dan pempengaruh tanah air itu akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula pukul 7.30 malam.

Antara barisan artis lain yang bakal membuat persembahan termasuk Aina Abdul, DOLLA, Akim & The Majistret, Khai Bahar, Kaka Azraff dan ramai lagi.