Penyanyi Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz mengalirkan air mata ketika berkongsi pengalaman dan cabaran untuk menjayakan Konsert Soul Sisters.

Misha berkata mereka melalui pelbagai dugaan hingga mendedahkan pernah berselisihan faham dan hampir putus asa ketika menjalani latihan untuk konsert tersebut.


“Ini yang membuatkan saya sedih. Ini kerana kami pernah melalui pelbagai pengalaman bersama termasuk bergaduh dan hampir putus asa kerana ini pertama kali kami bergabung sebagai trio dalam satu persembahan berskala besar.

“Macam Noryn, dia ada latar belakang muzik. Jadi, saya dan Sarah banyak rujuk pada dirinya. Malah, kami kena buat yang lebih baik juga.

“Lagi pula, perkara ini bukan boleh buat dalam tempoh dua atau tiga hari. Macam hari ini, kami beri tenaga pada Noryn memandangkan dia ada masalah kesihatan,” katanya.

Trio itu ditemui pada malam ‘sneak preview’ konsert Soul Sisters di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.

Sementara itu, Noryn memberitahu masalah kesihatan yang dialami tidak membuatkan dirinya berputus asa untuk meneruskan persembahan.

“Apabila masalah vokal melanda, saya banyak merujuk pada Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal. Dari situ saya belajar banyak perkara dan bukan semata-mata sebagai penyanyi.

“Mahu atau tidak, saya harus lalui. Persembahan juga perlu diteruskan walaupun pada masa sama berdepan masalah rumah tangga,” katanya.

Terdahulu, mereka menyanyikan 16 lagu secara medley menerusi empat segmen selama lebih kurang sejam.

Antara lagu-lagu yang didendangkan adalah Lady Marmalade, Cinta Adam & Hawa, Fantasi O Realiti dan Jangan Kau Mimpi pada segmen pertama.

Menerusi segmen kedua, Mulanya Di Sini, Kali Pertama, Akhirnya Kini Pasti, Getaran dan Khayalan.

Pada segmen ketiga, lagu Un-Break My Heart, Run To You, Listen dan Cinta Di Akhir Garisan.

Segmen keempat pula bertemakan ‘women empowerment pula mereka mempersembahkan lagu medley dari lagu I Will Survive, Survivor dan Respect.

Konsert Soul Sisters bakal berlangsung pada malam ini dan esok iaitu 5 dan 6 April di Istana Budaya.