Nama Deepika Padukone bukan asing dalam dunia perfileman antarabangsa.

Bintang Bollywood ini telah lama mendapat kepercayaan banyak pengkarya seni Hollywood.



Meski sudah pernah terbabit dalam naskhah hebat seperti xXx: Return Of Xander Cage bergandingan dengan Vin Diesel, rupa-rupanya masih ada impian isteri Nick Jonas itu yang belum terwujud.

Dalam sebuah acara seni, Deepika mengaku dirinya mendambakan watak Wonder Woman.

“Saya rasa jalan pelaku seni dari Selatan Asia masih panjang. Jadi apa yang saya mahukan sebenarnya?

“Saya sudah pernah menjadi doktor India atau pemandu teksi dalam naskhah antarabangsa.

“Saya mahu menjadi Wonder Woman. Saya mahu menjadi Bat Woman dan tidak memerlukan sebab untuk menjayakan watak tersebut,” katanya seperti dilaporkan Times of India.

Menurut Deepika, tidak ada sebab pelakon seperti mereka tidak boleh mempunyai impian untuk memainkan watak-watak ikonik dan besar dalam pasaran Hollywood.

“Saya percaya kita mempunyai bakat, jadi kenapa tidak melakukan sesuatu yang sesuai dengan piawaian dan memperoleh pulangan berbaloi terhadap kerja yang dilakukan,” katanya.

Wonder Woman merupakan watak yang diangkat dari komik DC ke layar lebar sejak tahun 2016.

Watak Wonder Woman atau Puteri Diana dimainkan oleh Gal Gadot menerusi beberapa filem termasuk Batman v Superman: Dawn of Justice, Wonder Woman, Justice League dan Wonder Woman 1984 yang dirilis pada tahun 2020.