Hari ini genap seminggu dibebaskan daripada tahanan reman pihak polis, pelakon popular Sharnaaz Ahmad, 36 akhirnya bersuara mengenai satu insiden yang didakwa dirinya telah melakukan kekasaran terhadap seorang penghuni kondominium di Segambut, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh pelakon filem Jebat itu menerusi satu perkongsian video berdurasi 4 minit di akaun Instagram miliknya.

Pemilik nama asal Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad atau Sharnaaz menafikan tuduhan yang mengatakan dia menendang serta menumbuk pengadu seperti yang dilaporkan pihak media sebelum ini.

“Sebenarnya saya perlu tunggu keputusan dari mahkamah, tapi disebabkan saya terlihat satu perkongsian terkini oleh sebuah media, saya akan beri sedikit penjelasan sebenar.

“Ingin saya tegaskan di sini, demi Allah saya tidak menumbuk, memijak, menendang perut dan mencekik mangsa. Itu benda karut, saya tak buat.

“Siasatan dah lengkap, dah hantar pada Timbalan Pendakwa Raya. Inysa-Allah kita akan dapat tahu apa kesudahannya nanti.

“Kalau boleh saya tak nak panjang-panjangkan cerita, semoga yang terbaik untuk kedua-dua pihak" ujarnya.

Tambah Sharnaaz lagi, buat masa ini dia tidak dapat mengadakan sidang media seperti yang dijanjikan atas nasihat peguam dan pihak polis.

“Selepas mendapat nasihat dari pihak peguam dan polis, seeloknya tunggu keputusan mahkamah keluar. Ini saya sampaikan secara ringkas dan padat supaya semua orang boleh faham dan tidak salah fikir.

“Saya ringkaskan, ceritanya ketika itu di rumah saya ada guard, salah satu penduduk iaitu pengadu sedang bergaduh dengan guard.

“Kemudian saya nampak mereka bergaduh saya cuba pertahan guard. Kita tak boleh tindas orang macam itu dan berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya bukan jenis memilih kaum, saya jenis tak memilih kaum, mana yang salah saya akan kata salah dan mana yang teranaiya saya pertahankan " kata ayah kepada Jebat Jayden.

Terdahulu, kecoh seketika apabila pihak media melaporkan pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk, memijak dan menendang penghuni di kondominium di Segambut, Kuala Lumpur pada 18 Jun lalu.

A post shared by Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ™ (@sharnaazahmad)