Laman Utama
Dengan Sekali Lafaz, Zulin Aziz Sah Bergelar Isteri Rakan Kongsi Perniagaan
Dengan sekali lafaz, Zulin Aziz, 33, sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaannya, Farhan Norzaini, 35, di Masjid Negara, jam 9.20 pagi.
Majlis akad nikah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Pasangan mempelai diijabkabulkan berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz.
Pasangan tersebut dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni.
Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran berjumlah RM30,000.
Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Bekas penyampai radio Suria FM berkata Farhan melamarnya di Madinah ketika mengerjakan umrah tahun lalu.
"Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah banyak persepsi saya.
“Hujung tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah," kata Zulin.
Katanya lagi, kesungguhan dan keluhuran hati Farhan menambat hatinya.
"Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga dan juga seorang pendengar yang setia.
"Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sewaktu zaman saya berisi sehinggalah sekarang.
“Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada anak-anak kami nanti. Insya-Allah," katanya
Mengenai anak dan bulan madu, Zulin berkata dia dan suami terbuka menerima apa saja rezeki mendatang.
Sementara itu, Farhan atau nama penuhnya, Mohd Farhan Norzaini melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.
"Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri.
"Kami masing masing pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan.
“Dia turut bersama saya di saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.
"Arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu," kongsi Farhan.
Malam ini, pasangan sama padan sama cantik itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam.
Must-Watch Video