Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

DG Noor Hisham merupakan antara 829 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.



Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arshad Ayub merupakan tokoh utama dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Empat lagi tokoh utama menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Tokoh berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Meninjau ke ruangan Twitter, ramai wargamaya yang bersetuju dan memberikan ucapan penghargaan kepada DG Noor Hisham.

“Alhamdulillah. Terpaling berhak dapat anugerah ini. Tahniah Tan Sri Dr,” komen seorang wargamaya.

“Tahniah diucapkan. Semoga bertambah semangat berkhidmat untuk negara,” ujar seorang wargamaya.

“Tahniah Tan Sri @DGHisham. Terima kasih dalam mengetuai KKM menangani virus COVID-19 di Malaysia. Tahniah juga warga frontliners,” puji seorang wargamaya.

“Kebanggaan negara, tahniah Tan Sri Dr Noorhisham,” komen seorang wargamaya lagi.

Tahun ini juga menyaksikan seramai 11 individu dianugerahkan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD), 328 Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 44 Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).