HIBURAN
"Dia Boleh Datang Sini Jumpa Ibu" - Wan Maimunah
Pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz bersedia bertemu dengan lelaki yang teringin berjumpa dengannya bagi melepaskan kerinduan terhadap arwah ibunya yang dikatakan mempunyai wajah seiras.
Perkara itu dimaklumkan anak kepada pelakon tersebut, Muhammad Shah Muhammad, 45, bahawa lelaki tersebut boleh bertemu dengan Wan Maimunah di gerai ayam golek Ferris Wheel di Pengadang Baru di sini sebelum pelakon veteran itu pulang ke kampung di Jasin, Melaka pada 21 Mac depan.
Muhammad Shah berkata, perkara tersebut disedari selepas dia dihubungi beberapa kenalan yang ingin membantu lelaki tersebut bertemu ibunya.
“Saya terkejut apabila dapat tahu kisah lelaki ini yang kesal kerana tidak dapat memohon kemaafan dari ibunya yang meninggal dunia 19 tahun lalu. Lelaki itu mendakwa wajah arwah ibunya sangat mirip dengan Wan Maimunah dan begitu teringin berjumpa untuk melepaskan kerinduan.
"Lelaki ini boleh datang ke sini untuk berjumpa dengan ibu. Insya-ALLAH, ibu saya akan berada di gerai ayam golek Ferris Wheel di Pengadang Baru di sini hingga Jumaat depan sebelum pulang ke rumah adik di Jasin," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Muhammad Shah berkata, tiada sebarang masalah sekiranya lelaki tersebut ingin berjumpa Wan Maimunah semasa Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Saya sudah menghubungi lelaki berkenaan di media sosial namun masih belum mendapat maklum balas. Jika dia ingin datang berjumpa boleh sahaja kita aturkan pertemuan tetapi ibu saya akan balik beraya di kampung di Jasin.
"Kita harap pertemuan lelaki ini dengan ibu sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan dan keceriaan menyambut Aidilfitri selain beri semangat kepada dirinya untuk tidak lagi berada dalam kesedihan," ujarnya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pelakon veteran, Wan Maimunah bagi melepaskan rindu terhadap arwah ibunya yang telah meninggal sejak 19 tahun lepas.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna akaun Thread dikenali syukriesufian yang menyimpan hasrat untuk berjumpa pelakon tersebut yang dikatakan mirip dengan wajah arwah ibunya.
Ruangan bio di akaun lelaki tersebut turut tertera perkataan, 'Mudah-mudahan raya tahun ini dapat jumpa Wan Maimunah'.
Sebelum ini Sinar Harian turut melaporkan pelakon veteran itu mencuri tumpuan apabila menjual juadah berbuka puasa di gerai ayam golek 'Ferris Wheel' milik anaknya di Kampung Wakaf Beruas di Kuala Terengganu pada Ramadan.
Must-Watch Video