Pelakon utama filem Ali & Ratu Ratu Queens, Iqbaal Ramadhan menyifatkan karya terbaru arahan Lucky Kuswandi ini sarat dengan elemen kekeluargaan yang bakal menyentuh emosi penonton.

Menerusi sesi sidang media baru-baru ini, Iqbaal menyatakan topik dan mesej yang dibawa sangat besar dan ‘powerful’ khususnya ketika dunia berdepan pandemik Covid-19.

“Walaupun kami semua menjalani penggambaran sebelum pandemik, mesej ini terasa lebih kuat selepas itu kerana ia menunjukkan siapa keluarga sebenar anda.

“Siapa yang mengambil berat, siapa yang selalu bertanya keadaan anda.

“Anda mempunyai kebebasan untuk memilih siapa yang anda mahu menjadi keluarga kamu,” katanya yang membawa watak sebagai Ali.

Menurutnya, watak Ali adalah anak yang baik dan cukup bertuah kerana mempunyai wanita yang pelbagai dalam hidupnya.

“Setelah ayahnya meninggal, ibu saudaranya menjaganya sehingga seluruh hidup Ali dikelilingi oleh ramai wanita.

“Ibu saudaranya yang konservatif, ‘mak cik’ yang pelik di Queens, mahupun ibunya yang dikatakan sungguh kompleks.

“Saya rasa itulah mengapa Ali dapat mengangkat sisi empati dan menjadikannya sebagai seorang lelaki.



“Satu perkara lagi,berbuat baiklah kepada keluarga anda! Anda mungkin marah atau mempunyai fahaman yang berbeza, tetapi jangan heret mereka apatah lagi mengecewakan keluarga.

“Ini adalah kesalahan biasa bagi orang yang seusia saya dan saya rasa pengalaman Ali dapat menjadi pengajaran bagi kita,” katanya.

Iqbaal berkata demikian menerusi sidang media yang dianjurkan secara virtual baru-baru ini.

Sekadar info, Ali & Ratu Ratu Queens mengisahkan tentang perjalanan Ali yang meninggalkan Jakarta ke New York untuk mencari ibunya yang telah lama hilang.

Dia kemudian menemui empat wanita Indonesia yang tinggal di Queens.

Perjalanan Ali bersama ratu-ratu Queens ini telah membuka matanya mengenai maksud sebenarnya keluarga.

Jangan lupa saksikanAli & Ratu Ratu Queens yang bakal ditayangkan di platform striming Netflix, 17 Jun ini.