Pelakon Maya Karin akui gembira kerana akhirnya berpeluang bekerjasama dengan aktor Khir Rahman di dalam filem Bulan & Pria Terhebat (BPT).

Menurut Maya sebelum ini dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berlakon dengan Khir tetapi tidak kesampaian.

“Khir seorang pelakon yang hebat, saya gembira dapat bergandingan dengannya dalam filem ini.

“Khir juga memberitahu dia sudah lama hendak bekerjasama dengan saya sejak saya menceburi bidang ini lagi.

“Tapi baru kini kami berpeluang berlakon bersama,” katanya kepada Gempak.

Selain Maya dan Khir, Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu turut dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Zizan Razak, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Mengulas mengenai pengalaman pertama bekerjasama dengan Khir, Maya akui ia sangat menyeronokkan.

“Saya dan dia dalam filem ini mempunyai watak yang berbeza tetapi kami digandingkan bersama untuk satu misi.

“Saya membawa watak seorang yang serius manakala Khir dalam filem ini sangat kelakar dan dalam masa yang sama berkarisma.

“Saya terhibur sepanjang penggambaran itu,” katanya lagi.

Filem hebat yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar itu sudah menemui penonton di panggung rumah anda, Astro First sejak 11 Mac lalu.

Secara ringkas Bulan & Pria Terhebat mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Jangan lupa saksikan filem Bulan & Pria Terhebat di Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.