Nampaknya pelakon yang terkenal dengan filem aksi, Vin Diesel betul-betul menikmati masa senggangnya ketika bercuti di luar negara.
Hal ini dapat disaksikan menerusi beberapa keping gambar yang diambil oleh paparazi ketika pelakon itu berada di Itali.
Diesel atau nama sebenarnya, Mark Sinclair, 54, yang mengenakan celana pendek berona hitam dilihat ralit bermain telefon bimbit sambil menayangkan perutnya yang buncit.
Hal ini sudah tentu mengejutkan peminat memandangkan pelakon yang popular menerusi francais filem Fast & Furious itu terkenal dengan bentuk tubuh yang tegap.
Tidak keseorangan, percutian tersebut turut disertai oleh kekasihnya, Paloma Jimenez and tiga anak mereka, Hania, 13, Vincent, 11 dan Pauline, 6.
Memetik laporan PageSix, selain bercuti, Diesel turut menghadiri pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana di Venice, Itali.
Sungguhpun Diesel dilihat selesa dengan tubuhnya, namun, lain pula cerita dengan netizen di media sosial.
“Dia mengandung ke?” soal seorang netizen di laman Twitter.
“Ya, kenapa dia pegang perut dia sampai begitu sekali?” balas seorang lagi pengguna laman sosial berkenaan.



Sementara itu, ada segelintir netizen yang berharap agar Diesel kembali menjalani rutin diet yang betul selepas pulang daripada bercuti.
Diesel pernah mengalami kenaikan berat badan sebelum ini. Namun, pelakon itu tidak mengambil pusing cakap-cakap nakal orang dan kembali menurunkan berat badan apabila sampai waktunya untuk masuk ke set penggambaran.