"Dia boleh terima saya seadanya," demikian kata-kata pelawak dan penyampai radio, Shuib berkongsi ciri-ciri istimewa yang ada pada wanita yang kerap dikaitkan dengannya sejak akhir-akhir ini, Watie Hanifiah.

Jelas Shuib, ciri-ciri yang ada pada Watie itu seakan-akan sama dengan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

"Saya sangat selesa dengan dia. Dia penyayang. Dia boleh diharap dan penyabar.

"Kalau nak tahu, dia sendiri ada seorang kakak OKU yang tak boleh berjalan dan dialah yang menjaganya sejak dari kecil.

"Dia juga merupakan seorang wanita yang boleh terima saya seadanya. Sebab dahulunya ketika arwah masih ada, saya selalu cakap, saya biasa-biasa je. Sama juga dengan dia (Watie).

"Kadang-kadang ada benda buat saya rasa 'dia ni datang dari mana?'. Saya boleh ajak dia ke kubur, tak ada masalah," dedah Shuib.

Shuib ditemui pada majlis pelancaran Kamya Fest di sebuah hotel di ibukota pada Selasa.

Dalam pada itu, tambah Shuib lagi, Watie merupakan wanita yang kerap kali cuba menggembirakannya.

"Kita hidup dalam realiti, saya hilang orang tersayang dan masih rindu. Dia (Watie) pun tak boleh halang benda itu.

"Kalau dia nak cakap apa-apa tentang Sarah go ahead, saya tak halang.

"Lumrahlah, orang tak suka perbandingan, tapi kalau ada persamaan dia nak tahu apa supaya dia boleh ikut untuk gembirakan saya. Tapi biar masa menentukan segalanya," ujarnya.

Selain itu, Shuib menyifatkan Watie seorang wanita yang berdikari dan boleh diharap.

"Dia juga pandai masak, macam-macam masakan! Dia juga seorang wanita berdikari dan boleh diharap. Itu yang luar biasa," tambahnya.

Kecoh sebelum ini apabila hubungan Shuib dan Watie mulai dihidu peminat apabila kerap keluar bersama-sama.

Terbaharu, Shuib dan Watie dilihat hadir berpakaian sedondon di konsert Lah Ahmad hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Shuib menepis dakwaan bakal berkahwin dengan Watie pada Mac ini dan akan mengumumkan sekiranya sudah punyai tarikh kelak.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.