Laman Utama
“Dia Sihat Dan Kuat Semangat” - Pengurus Da’i Syed Mohon Doa Dan Kata-Kata Semangat Daripada Orang Ramai
Pengurus kepada pendakwah selebriti Syed Syah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, Mohd Aizat Jaafar terus memohon agar orang ramai dapat mendoakan dan memberi kata-kata semangat pada Da’i Syed agar dia terus kuat menghadapi ujian.
Menurut Aizat, Syed berada dalam keadaan yang baik, serta kuat semangat sepanjang berada di dalam kes namun mengharapkan orang ramai agar tidak putus-putus mendoakannya.
Sementara itu, Ibu dan abang Da’i Syed juga sentiasa bertanyakan perkembangan terkini dan memberikan kata-kata semangat pada pendakwah berusia 25 tahun itu sepanjang 13 hari ditahan reman.
“Walaupun ramai netizen mengecam, tapi alhamdulillah kesihatan Syed sekarang okay dan dia kuat semangat. Jadi kami memohon doa daripada mereka yang berada di luar sana, terus doakan kami kuat.
“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berwajib, pihak media yang membantu dalam kes ini, juga pada kawan-kawan yang tampil di saat getir, saya sebagai pengurus terharu dengan sokongan,” kata Aizat kepada Gempak.
Aizat ditemui bersama peguam Da’i Syed, Syed Amirul Syed Edros di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam selepas prosiding pendakwaan terhadap artis jagaannya itu pada Khamis.
Menjawab aktiviti seni dan status terkini Da’i Syed sebagai artis di bawah pengurusan Universal Music Malaysia, pihak mereka masih lagi memantau keadaan itu dari semasa ke semasa.
“Buat masa sekarang, pihak pengurusan masih memantau kes ini dan pihak kami juga tidak memberikan apa-apa kenyataan lagi sehingga kes ini betul-betul selesai. Buat masa sekarang kita tak ambil apa-apa tindakan sebab kita pun baru sahaja sign dengan pihak Universal.
“Untuk karier, Insya-Allah kita akan buat yang terbaik dan bukan terhenti setakat itu sahaja. Apa sahaja yang pihak pengurusan dan rancang untuk dia, tidak akan terhenti dan kami akan mengambil tindakan lanjut,” ulasnya lagi.
Pada Khamis, Da’i Syed didakwa atas tiga pertuduhan cabul, rogol dan seks luar tabii di Mahkamah Petaling Jaya dan Shah Alam.
Pendakwah yang juga seorang penyanyi itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga dakwaan terbabit dan dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM35,000 oleh pihak mahkamah.
Must-Watch Video