Ratu rock Ella Aminuddin mendedahkan penyanyi lagenda rock, Datuk Ramli Sarip seorang yang tegas ketika bekerja.

Ella bagaimana pun teruja bekerjasama dengan Ramli dalam menjayakan Konsert Kembara Kita yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 14 dan 15 Februari 2020 (hari ini dan esok).

“Alhamdulilah segala persiapan untuk menjayakan konsert ini berjalan dengan lancar meskipun kami masing-masing sibuk dengan jadual sendiri.

“Selama bekerja dengan Datuk (Ramli) dia seorang yang tegas ketika bekerja tapi sebenarnya sangat rock and roll.

“Saya amat teruja untuk berkongsi pentas dengan Datuk nanti,” katanya kepada Gempak.

Sementara itu, Ramli pula memberitahu dia dan Ella bakal mempersembahkan perjalana muzik mereka di dalam dunia seni.

“Waktu saya mula-mula kenal Ella, saya nampak dia nampak sangat ‘street’ dengan jeans biru dan baju T. Jadi bila saya terbitkan ketiga-tiga album ini, saya cuba kekalkan imej dan gaya street Ella itu. Kalau buat stail elit nampak tidak sesuai pula.

“Kembara Kita bukan sahaja menampilkan perjalanan muzik kami bersama tetapi sebahagiannya adalah ‘soul’ dan kedewasaan yang kami berdua dan ini adalah antara sumbangan kami terhadap industri,” katanya.

Kembara Kita bakal menampilkan kemunculan pemain gitar terkemuka Letfhanded iaitu Man Keedal sebagai pemain gitar undangan di dalam konsert ini nanti.

Daripada segmen solo kepada segmen duet, Datuk Ramli Sarip dan Ella juga akan melakukan ‘kejutan’ tidak dijangka yang akan meninggalkan kepuasan buat peminat serta pengikut tegar mereka yang datang menyaksikan konsert Kembara Kita.