Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud iaitu Toh Puan Raghad Kurdi Taib menafikan laporan media berhubung pihak polis sedang menyiasat dakwaan bahawa suaminya dibawa keluar dari hospital tanpa nasihat doktor.

Menerusi perkongsian di InstaStory miliknya, Ragad berkata, dakwaan berhubung isu tersebut adalah tidak benar sambil berkongsi gambar laporan doktor sebagai bukti.

“Itu adalah tidak benar,” katanya pada Isnin.

Baru-baru ini tular satu laporan polis yang mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta di Kuching.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung isu tular iaitu kes membawa keluar Abdul Taib dari sebuah hospital.

Menurut kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian