Anggota kumpulan UNIC, Fakhrul akui tidak melatah apabila acara yang mereka anjurkan iaitu pertandingan permainan atas talian PUBG Mobile pada 28 Julai lalu didakwa telah mencemarkan peribadi Muslim.

Menurut Fakhrul atau Mohd Fakhrul Rahdi Kamarudin, mereka tidak dapat memuaskan hati semua orang dan menganggap ia hanya salah faham sahaja.

“Dikecam peminat itu biasa. Kami tak dapat nak puaskan hati semua orang.

“Mungkin yang mengecam itu tak tahu apa sebenarnya permainan PUBG Mobile ini.

“Tambahan pula, mereka tak tahu apa acara dan isi kandungan yang kami buat. Ia dililaht seolah-olah kami hanya mahu mempromosikan permainan ini sahaja dan sengaja mahu membuang masa.

“Kalau mereka tahu pengisian yang kami buat mungkin mereka ada pendapat yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Fakhrul mengulas mengenai isu tersebut selepas memuat naik paparan skrin pesanan di Instagram daripada seorang peminat yang mendakwa kecewa dengan UNIC kerana menganjurkan acara tersebut dan dianggap telah mencemarkan peribadi Islam.

Pandangan korang cane? Terima kasih atas pandangan.. adakah semua yang pemain pubg ini mencemar imej peribadi muslim? Jika event anjuran unic mencemarkan imej peribadi muslim , kat part mana? Nk kena tau x jgk utk unic perbaiki. Apa pn thanks kerana sygkan unic. Dak2 yg join ritu, ce bg komen sket. . #pubgunic

A post shared by Fakhrul UNIC (@fakhrulunic) on


Mengulas lanjut mengenai acara yang diberi nama #PubgUNIC itu, Fakhrul menjelaskan ia bukan acara hiburan semata-mata malah turut menyelitkan beberapa aktiviti seperti sembahyang berjemaah dan sebagainya.

“Kami sebenarnya cuba untuk menarik minat budak muda sekarang mengenai nasyid serta Islam.

“Selain aktiviti suai kenal, kami pun memperkenalkan mereka dengan lagu-lagu nasyid. Kami sengaja tak terlalu hardsell mempromosikan Islam supaya mereka tidak rasa janggal.

“Dalam permainanan ini pun kami tetapkan peraturan supaya tiada kata-kata kesat dikeluarkan semasa ia berlangsung.

“Bila masuk Zuhor pula kami terus berhenti dan solat berjemaah bersama. Kami cuba selitkan aktiviti sebegini supaya mereka pun tidak malu bertanya mengenai agama dan sebagainya,” katanya lagi.

#PubgUNIC berlangsung selama satu hari sahaja di pejabat urusan UNIC di Sri Gombak pada 28 Julai lalu.

Selain Fakhrul, UNIC yang turut dianggotai oleh Bazli dan Najdi kini muncul dengan lagu baharu Padu Bossku.

Dalam perkembangan lain, Fakhrul turut menganggotai kumpulan UNI Bersama Fad Bocey dan Atu Zero dalam program Muzikal Lawak Superstar (MLS).

MLS bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Untuk mengundi bintang, undian boleh dilakukan secara:

1.Undian boleh dilakukan di gempak.com/muzikallawaksuperstar
2.Taip MLSNAMA KUMPULAN atau MLS (3/5/10/20)NAMA KUMPULAN untuk (3/5/10/20) undian ke 32777.
Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.gempak.com/muzikallawaksuperstar.