Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan keluarga selebriti popular, Neelofa dipanggil memberi keterangan esok.

Ia berhubung isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahan Sabtu lalu.
Mohamad Zainal berkata, selain daripada keluarga Neelofa, penganjur acara majlis pernikahan itu juga dijangka memberi keterangan bersama.

"Sepatutnya penganjur acara itu hadir memberi keterangan hari ini tetapi ditangguhkan esok bersama keluarga Neelofa.

"Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pengurus acara majlis pernikahan selebriti popular dan pendakwah bebas akan dipanggil pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung SOP.

[[BACA: Polis Panggil Penganjur Perkahwinan Neelofa]]

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di hotel terkemuka di sini.

Pasangan itu dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor dan menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

Namun, satu gambar tular di media sosial mendakwa majlis yang dianjurkan itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).