Sekilas
- Norman Hakim berkongsi persiapan majlis perkahwinan anak sulungnya, Danish Hakim, yang akan diadakan secara sederhana dengan kehadiran keluarga dan rakan terdekat sahaja.
- Ini adalah pengalaman pertama Norman menguruskan majlis perkahwinan bersama anaknya, dengan bantuan isteri dan anak-anak perempuan serta perancang perkahwinan.
- Norman juga berusaha mengalihkan perhatian isterinya, Memey Suhaiza, yang masih dalam proses pemulihan selepas kehilangan ibu mereka baru-baru ini.
Pelakon, Norman Hakim berkongsi perkembangan terkini persiapan majlis perkahwinan anak sulungnya, Danish Hakim yang bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian di Instagram, Norman berkata majlis berkenaan akan diadakan secara sederhana yang akan dihadiri oleh ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak yang terlibat sahaja.
Menurut Norman, ia merupakan kali pertama dirinya mengendalikan urusan perkahwinan bersama anak sulungnya itu.
“Majlis di Kuala Lumpur sebelah saya ini, saya buat sederhana sahaja. Jemputan terdiri daripada keluarga, anak-anak yatim dan tahfiz di bawah jagaan saya, sahabat perniagaan serta rakan-rakan agensi kerajaan dan swasta yang banyak membantu selama ini.
“Pengalaman pertama sebagai bapa bergandingan dengan putera sulung saya urus hal kahwin. Selain khidmat perancang perkahwinan, saya turut meminta isteri dan anak-anak perempuan untuk sama-sama membantu serta memberikan sokongan dalam fasa ketiga ini,”tulisnya.
Dalam masa sama, Norman turut berkongsi dia kini sedang berusaha mengalihkan perhatian isterinya Memey Suhaiza dengan persiapan perkahwinan susulan kehilangan ibu tercinta, baru-baru ini.
“Saya perlu memastikan mummy sentiasa sibuk kerana keadaannya masih fragilerag sejak pemergian ibu. Kalau ada ruang sunyi, dia akan cepat emosi dan menangis. In shaa Allah, dia memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih.
“Apa jua ujian yang hadir, kehidupan dan perjuangan tetap perlu diteruskan. Kita berusaha sebaik mungkin, bersangka baik dengan ketentuan Allah dan bertawakal kepadaNya.
“Semoga setiap urusan persiapan majlis ini dipermudahkan, diberkati dan menjadi kenangan indah buat seluruh keluarga,”kongsinya.
Untuk rekod, Norman mendirikan rumah tangga dengan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 38, pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 13, Muhammad Dikhriz Hakim, 11, dan Mikayla Delisha Hakim, 8.
Sebelum itu, Norman pernah bernikah dengan Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 49, pada 2002 namun pasangan itu bercerai pada 2009.
Selain Danish, hasil perkahwinan tersebut mereka turut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Marissa Dania Hakim, 21, dan Danisha Hakim, 18.