"Tak benar!" demikian tegas pelakon dan pengacara popular Zizan Razak mengulas mengenai dakwaan dirinya tidak boleh bekerjasama dengan pelakon jelita Mira Filzah.

Tambah Zizan, mereka masih berkawan dan tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk bekerja dengan mana-mana pelakon.

"Saya langsung tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk bekerja dengan sesiapa pun selagi selesa. Tapi kalau tidak selesa dengan seseorang itu, mungkin ada syarat yang saya letakkan.

"Contohnya, sesetengah pelakon ada buat perangai di set penggambaran, jadi buat saya tidak selesa," katanya.

Zizan ditemui pada majlis sidang media dan tayangan drama Super Wira di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam drama live action terbabit, Zizan muncul sebagai cameo bersama Mira Filzah di samping pelakon utamanya Beto Kusyairi, Idan Aedan dan Nadhir Nassar.

Zizan beranggapan dakwaan sedemikian muncul apabila mereka jarang bergandingan dalam mana-mana naskhah sejak akhir-akhir ini.

"Saya pun tidak pasti kenapa timbul dakwaan sebegitu. Kami sudah lama tidak bekerjasama. Sehingga mungkin orang berfikir sedemikian.

"Kali terakhir kami berlakon dalam filem Jula Juli Bintang Cinta, sebelum Covid-19," ujarnya.

Tambah Zizan lagi, dia masih terbuka untuk digandingkan bersama Mira Filzah selepas ini.

"aya okay sahaja, tiada masalah pun untuk bekerjasama dengan Mira. Sebab itu kerjaya. Apa yang saya buat dalam industri ini semua untuk peminat saya. Kalau orang suka saya akan buat.

"Macam drama Super Wira ni pun, saya baru tahu Mira berlakon sekali dalam cerita ini selepas saya belek-belek skrip.

"Tapi saya tidak berjumpa dengan dia langsung dekat set, sebab scene kami berlainan. Reaksi saya tiada apa pun, sebab kami berdua sudah lama tidak bekerjasama," katanya.