Laman Utama

Dikecam Kerana Pilih Vaksin, Ifa Raziah Bukan Mengada-Ngada Tapi Ada Alasan Kukuh!

gempak
Fiza Kamarudin
12/07/2021
05:15 MYT
Sponsor Banner
Dikecam Kerana Pilih Vaksin, Ifa Raziah Bukan Mengada-Ngada Tapi Ada Alasan Kukuh!
Selebriti versatil, Ifa Raziah tampil memberi penjelasan apabila dikecam warganet selepas hantaran videonya memilih pusat vaksin menjadi tular.
Ifa yang telah dijadualkan untuk menerima dos pertama suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Ahad mengambil keputusan untuk membatalkan temujanji tersebut.
Penyanyi yang popular dengan lagu Panas itu membuat keputusan untuk pulang ke rumah selepas diberitahu akan menerima vaksin jenis Sinovac dan bukannya Pfizer.
Tindakan tersebut bagaimanapun mengundang rasa kurang senang warganet dan menganggap Ifa tidak bersyukur serta mengada-mengada, di saat masih ramai menanti giliran untuk divaksin.
Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Panas itu ketika dihubungi Gempak menafikan tuduhan tersebut kerana mempunyai alasan kukuh berbuat demikian.
“Saya memohon untuk menukar dos jenis Pfizer bukan sebab saya sengaja atau mengada-ngada seperti yang diperkatakan netizen.
“Saya ada alahan kepada banyak jenis ubat dan kandungannya, sebelum memohon temujanji di MySejahtera saya ada mendapatkan konsultasi daripada doktor saya dahulu.
“Doktor kata sebaik-baiknya cuba dapatkan vaksin Pfizer kerana bimbang jenis vaksin lain akan meninggalkan kesan sampingan terhadap badan saya.
“Itu sahaja concern saya. Saya bukan nak memilih atau kata vaksin lain tak bagus. Suami dan anak-anak saya pun ambil Sinovac, tak ada pun saya kata tak payah pergi ambil,” katanya.
Tambah Ifa, dia turut menunjukkan surat alahan ubat-ubatan kepada doktor pakar yang bertugas di MITEC selepas salah faham berlaku di stesen kedua (konsultasi).
“Alhamdulillah, semuanya selesai dan doktor pakar di MITEC mencadangkan supaya menunggu temujanji lain, 30 hari selepas tarikh hari ini.
"Saya tidak kisah menunggu lama sikit. Terima kasih kepada doktor tersebut kerana memahami dan mempertimbangkan suntikan Pfizer untuk saya selepas melihat preskripsi yang dibawa,” katanya.
Dalam pada itu, Ifa juga mengambil keputusan untuk memadam hantaran tersebut kerana tidak mahu isu dipanjangkan.
“Semua sudah selesai dan saya tidak mahu ia dipanjang-panjangkan lagi. Takut timbul fitnah. Saya tidak menolak vaksin.
“Lainlah kalau saya tolak vaksin lepas tu hasut pula orang lain supaya jangan ambil vaksin. Itu lagi teruk!,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live