Pelakon, Ahirine Ahirudin mendedahkan dia telah dimarahi hampir setiap hari oleh pengarah filem Tempus iaitu Jason Chong kerana tidak memberikan penjiwaan dan mutu lakonan yang dikehendaki.

Malah, Ahirine, 27, memberitahu dia hampir berputusa asa, namun dalam masa yang sama menganggap ia sebagai proses pembelajarannya dalam bidang lakonan.

"Sebagai pendatang baru, saya akui saya masih punya banyak kelemahan. Tapi tak sangka setiap hari, setiap babak saya dimarahi Jason ketika di set penggambaran.

"Sewaktu minggu pertama saya rasa seperti hampir putus asa. Mungkin watak ini bukan untuk saya. Tambahan pula badan saya sakit-sakit kerana melakukan babak aksi.

"Tetapi bila saya fikirkan semula, jika saya tidak dimarahi mungkin saya tak tahu di mana silap saya," katanya kepada Gempak ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Tebus.

Namun kata Ahirine, sebagai persediaan untuk menjayakan watak Ana dalam filem ini, dia telah mengambil kelas lakonan serta turut mendapat tunjuk ajar daripada pelakon berpengalaman seperti Datuk Fauziah Nawi dan Pekin Ibrahim.

"Saya sudah beritahu pihak pengurusan saya bahawa saya akan mengambil kelas lakonan secukupnya sebelum masuk ke set Tebus.

"Saya tahu saya perlu baiki bakat lakonan saya untuk mendapatkan hasil yang lebih bagus dan puas hati.

"Malah untuk tawaran berlakon selepas ini saya mahu diujibakat oleh pihak produksi untuk tahu sejauh mana bakat saya dalam bisang ini sebelum diambil berlakon," katanya lagi.

Selain Ahirine, Tebus yang sudah mula ditayangkan di platform penstriman digital Prime bermula 31 Ogos lalu turut dibintangi oleh Azhan Rani, Idan Aedan, Jay Iswazir dan ramai lagi.