Laman Utama
Dipercayai Terima RM1.2 Juta Bayaran Duit Haram, Rizky Febian Disiasat Polis
Penyanyi terkenal Indonesia, Rizky Febian dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan terkait penerimaan bayaran pembelian produk miliknya yang dipercayai adalah hasil dari duit judi atas talian.
Menurut laporan media tempatan, Rizky dipercayai menerima bayaran sebanyak Rp400 juta (RM1.2 juta) daripada usahawan jutawan Doni Salmanan. Bayaran tersebut merupakan transaksi jual beli produk minuman dari Rizky pada bulan September 2021.
Rizky yang juga merupakan anak komedian Sule itu dilaporkan media tempatan telah hadir di bangunan Bareskrim Polri, Jakarta Selatan pada Rabu.
Sementara Doni yang menerima julukan Crazy Rich Bandung saat ini sudah ditahan pihak polis kerana disyaki menjalankan bisnes haram iaitu judi online yang menggunakan platform Quotex.
Usai menjalani sesi soal siasat, peguam Rizky, Ahmad Ramzey memberitahu media penyanyi itu mengenali Doni pada September 2021.
Rizky yang menjalani sesi soal siasat selama empat jam mengaku bayaran dari hasil minuman yang diterima dari Doni sebahagiannya didermakan sementara separuh lagi diberi kepada yayasan yang memerlukan.
“Ya kan pemberitaannya sudah tahu ya. Kalau itu (duit) saya lakukan untuk derma, untuk yayasan saat itu juga," kata Rizky seperti dilaporkan Kompas.
Terdahulu, Rizky sempat berkongsi rasa teruja kerana jualan minumannya dibida oleh jutawan tersebut sehingga mencecah harga RM1.2 juta.
“Saya masih gementar. Ini sangat tidak diduga-duga buat minuman, banyak banget yang taruh harga tinggi dari sultan-sultan sampai harga tertinggi di 400.000.000 (RM1.2 juta) @donisalmanan,” tulis Rizky saat itu melalui akaun media sosialnya.
Untuk rekod, selain Rizky, terdapat beberapa selebriti republik tersebut juga pernah menerima hadiah atau duit dari Doni yang dipercayai menipu dan menjalankan bisnes haram tersebut.
Ini termasuklah Atta Halilintar yang menerima sebuah tas tangan jenama Christian Dior dan pasangan Lesti Kejora dan Rizky Billar yang menerima wang sumbangan sewaktu berkahwin.
Must-Watch Video