Sekilas
- Pelakon baharu Sharmaine Alexander berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berharga dengan bergandingan bersama pelakon senior dalam drama Kasih Yang Terkorban.
- Sharmaine menghargai tunjuk ajar dan ilmu yang dikongsi oleh pelakon-pelakon besar seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Fasha Sandha sepanjang penggambaran.
- Dia juga aktif menghadiri sesi uji bakat untuk terus mengembangkan kerjaya lakonannya dan membuktikan bakat dalam industri seni.
Pelakon baharu, Sharmaine Alexander mengakui teruja apabila berpeluang menimba pengalaman dan ilmu daripada barisan pelakon senior sepanjang terlibat dalam dunia lakonan.
Menurut Sharmaine, peluang untuk bergandingan dengan nama-nama besar seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Fasha Sandha, Johan As’ari dan Dayana Rosza menerusi drama Kasih Yang Terkorban merupakan satu pengalaman berharga buat dirinya untuk mempelajari selok-belok dunia lakonan.
“Rasa sangat seronok berlakon sebab saya dapat belajar banyak dengan pelakon-pelakon senior. Apabila berada satu bilik dengan mereka, aura itu terus jadi lain.
“Malah, pelakon-pelakon yang saya jumpa dan berlakon bersama-sama seperti Fasha Sandha, Datuk Jalaluddin Hassan, Johan Asaari, Dayana Roza semua itu adalah nama-nama besar,” katanya kepada Gempak.

Tambah Sharmaine lagi, dia juga bersyukur kerana pelakon senior yang ditemuinya tidak lokek berkongsi ilmu serta memberikan tunjuk ajar sepanjang berada di set penggambaran.
“Saya ini pula kecil sahaja, rasa sangat berayukur kerana dapat belajar dengan mereka yang hebat.
“Saya terharu kerana mereka juga tidak lokek ilmu dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sharmaine juga tidak pernah jemu menghadiri sesi uji bakat sebagai usaha untuk terus mengembangkan kerjaya lakonannya.
Kata Sharmaine, dia akan merebut setiap peluang yang ada bagi memperkenalkan bakat serta membuktikan kemampuan dirinya dalam industri seni.
“Saya seorang yang suka menghadiri uji bakat, selagi boleh pergi, saya akan pergi.
“Selagi saya boleh usaha untuk menampakkan diri dan bakat saya, selagi itu saya akan cuba,” kongsinya.