Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mendedahkan dirinya merupakan seorang ‘survivor’ kanser payudara dan telah menjalani rawatan penyakit berkenaan pada Mac lepas.

Beliau berkata doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan kecil pada kiri payudaranya setelah menjalani pemeriksaan mammogram dan rawatan biopsi di sebuah hospital di ibu negara.

Bagaimanpun Siti Hasmah berkata, ketika keputusan biopsi diperolehnya yang mengesahkan ketumbuhan di payudara kirinya adalah kanser, beliau hanya tenang dan tidak memaklumkan kepada suami, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau enggan mengganggu suaminya yang sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri.

“Doktor lakukan biopsi pada Sabtu, keputusan diperoleh pada Isnin tetapi sepanjang tempoh itu saya tidak langsung memberitahu suami kerana tidak mahu mengganggunya, dia sibuk kerja.

“Apabila dia (Dr Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya.

“Saya masuk wad, empat hari selepas itu iaitu pada Jumaat, (dan) Sabtu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan. Pada Ahad, saya keluar wad,” katanya.

Dr Siti Hasmah turut berpesan kepada kaum wanita supaya tidak malu dan takut untuk menjalani ujian saringan mengesan kanser payudara.

"Kanser payudara boleh berlaku pada sesiapa sahaja tidak kira umur daripada muda sehinggalah umur 90-an seperti saya.

"Jangan gadaikan nyawa kita kepada jenis kanser yang boleh dicegah sekiranya dapat dikesan dari awal, kerana lebih cepat dapat rawatan lagi cepat kita boleh sembuh.

"Pemeriksaan kesihatan itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu diberi kepada diri kita yang masih sihat sebelum mahu menjaga orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL Pink October) 2019 di Hospital Kuala Lumpur, pada Selasa.

Sumber: Astro Awani