Sekilas
- Penyanyi Auddra terpaksa tangguhkan peperiksaan SPM ke tahun hadapan kerana tidak sempat mendaftar.
- Cadangan tangguh itu dibuat oleh ibunya supaya Auddra boleh fokus lebih baik pada persediaan akademik.
- Auddra kini membahagikan masa antara belajar dan kerjaya seni tanpa paksaan, malah dia sendiri aktif mencari peluang kerja.
Penyanyi Auddra berkata hasratnya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan disebabkan tak sempat untuk mendaftar.
Auddra atau mesra disapa Odda berkata, dia sebenarnya sudah membuat persiapan termasuk mengulang kaji pelajaran sebelum ibunya, Sharifah Shahirah mencadangkan agar peperiksaan tersebut diambil pada tahun berikutnya.
Menurut Odda, cadangan itu dibuat bagi membolehkannya memberikan lebih tumpuan terhadap persediaan akademik sebelum menduduki peperiksaan berkenaan.
“Sebenarnya masa itu saya nak ambil SPM. Saya tanya mama. Dia cakap lambat nak daftar. Sia-sia saja saya ulang kaji dan buat persiapan untuk SPM.
“Tapi mama cadangkan untuk saya fokus belajar dan ambil SPM tahun hadapan,” katanya kepada Gempak.
Odda berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pengumuman Top 10 Anugerah Bintang Popular di Ombak KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Odda berkongsi dia kini menjalani rutin harian dengan membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya seni.
Malah, penyanyi itu menegaskan keputusannya untuk bekerja dibuat atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Sekarang saya belajar sambil bekerja. Ini tanggungjawab saya dan saya suka apa yang saya buat sekarang.
“Tiada paksaan untuk saya bekerja. Kadang-kadang saya yang tanya apa lagi kerja yang saya kena buat. Saya yang bekerja,” ujarnya.